News Updates

Harian Metro Online 18th November 2008
 

Keenakan Eclair, Coronet Beard Papa
Oleh Rahayu Mohd Salleh
ayu@nstp.com.my

ECLAIR, tentunya jadi buruan mereka yang gemarkan pastri bersalut coklat ini. Agak menarik apabila pastri yang dikatakan berasal dari Perancis pada abad ke-19 itu disediakan menerusi kepakaran masyarakat Jepun.

"Masyarakat Jepun memang pakar dari segi ketelitian dan kemahiran kerja mereka. Lantas, meskipun pastri yang diketengahkan ini lebih popular di Eropah atau negara Barat, hasil kerja tangan masyarakat Jepun ini tetap mencuri tumpuan.

"Apatah lagi apabila pasti itu disediakan menurut lingkungan tahap kualiti yang tinggi baik dari segi penggunaan bahan mahupun cara penyediaan pastri berkenaan," kata Pengarah Urusan Beard Papa (M) Sdn Bhd, Goh Huck Chin.

Memperkenalkan dua pastri terkini menerusi rangkaian kedai Beard Papa, iaitu eclair dan coronet, Goh menyifatkan kelainan pastri berkenaan antara lain terletak pada bahan dan kaedah pembuatannya.

Bahan yang digunakan sama ada doh atau krim harus berada dalam keadaan segar, tanpa penggunaan bahan pengawet atau pewarna tiruan.

Eclair yang disediakan di Beard Papa dihasilkan daripada pastri berintikan krim coklat dan disalut bahagian atasnya dengan coklat gelap enak.

Coronet yang seakan-akan baguette Perancis dalam saiz kecil diperbuat daripada pastri rangup memanjang. Bahagian tengah pastri yang berlubang itu kemudian diisi dengan krim kastard segar yang boleh didapati dalam dua perisa, vanila dan coklat.

"Vanila yang digunakan dalam pastri ini bukanlah hanya perasa vanila sebaliknya ia diimport dari Madagascar yang memang terkenal sebagai tempat terbaik untuk tanaman itu," katanya ketika ditemui di Beard Papa di pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kedai Beard Papa terbabit adalah cawangan pertama di negara ini yang mula beroperasi pada 2005. Pertama kali berada di pasaran ketika itu, ia memperkenalkan paf krim yang juga ada peminat tersendiri.

"Waktu mula-mula diperkenalkan, ramai yang bertanyakan keistimewaan paf berkenaan berbanding paf di tempat lain. Saya akui kami melakukan pelbagai usaha untuk memastikan ia benar-benar berkualiti.

"Semua bahan yang digunakan untuk menghasilkan paf dibawa dari Jepun di samping bahan import lain seperti vanila bermutu tinggi itu.

Malah, kelompok pertama tenaga kerja di rangkaian kedai ini juga dihantar ke Jepun untuk menjalani latihan.

"Rasa setiap pastri itu juga serupa dengan mana-mana cawangan Beard Papa lain sama ada di Malaysia atau di luar negara," katanya yang kini menguruskan lima cawangan Beard Papa di negara ini.

Paf krim vanila, menurutnya, paling popular di kalangan penggemarnya. Tiga jenis paf krim lain adalah paf teh hijau, coklat dan bijan hitam.

Pastri terbabit agak berbeza kerana paf krim Beard Papa mengandungi dua lapisan apabila lapisan luarnya agak rangup sebelum diisi dengan kastard krim putar.

Penyediaan kastard krim putar itu pula memakan masa kira-kira dua jam. Kastard itu akan hanya diisi ke dalam paf apabila tempahan dibuat manakala serbuk gula ditabur pada paf sebelum dihidang.

Menurut Goh, paf krim itu harus dimakan segera selepas dibeli tetapi bagi mereka yang mahu menyimpannya terlebih dulu, seeloknya ia disimpan di dalam peti sejuk. Apapun, ia harus dimakan pada hari yang sama memandangkan paf enak dimakan sejuk itu tidak mempunyai bahan pengawet.

Bagi Goh, paf yang tidak habis dijual di Beard Papa pada hari berkenaan tidak akan digunakan lagi pada keesokannya manakala lebihan pastri pula didermakan kepada rumah amal selepas kedai tamat beroperasi.

Selain di pusat beli-belah Mid Valley, Beard Papa boleh ditemui di pusat beli-belah 1 Utama dan Pavilion, Kuala Lumpur; Sunway Pyramid di Petaling Jaya dan Queensbay Mall, Pulau Pinang.

 

Info

1.
Beard Papa asalnya hanya sebuah kedai persendirian di Osaka, Jepun yang ditubuhkan pada 1997 namun syarikat induk Beard Papa di negara terbabit sudah beroperasi sejak 1950-an.
2.
Ia kini berkembang sehingga 280 cawangan di Jepun dan 350 cawangan lagi di merata dunia termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Korea, Australia, Hong Kong, Singapura, Indonesia dan Malaysia.
3.
Beard Papa di Malaysia menyediakan sajian paf krim, ais krim fondan coklat, eclair dan coronet.
4.
Paf krim dianggarkan memiliki 200 kalori (kcal), coronet 199 kcal dan eclair 227 kcal.
5.
Konsep utama Beard Papa adalah membawa pulang pastri terutama di Jepun tetapi di Malaysia, kemudahan disediakan untuk pengunjung menikmati sajian di ruang kedai.


 
 
Back to News Updates >>